Pelajar menjalani pemeriksaan suhu badan dan sanitasi tangan di depan pintu sekolah sebagai satu tatacara operasi piawai (SOP) di SMK Jenjarom, Kuala Langat pada 24 Jun 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tempoh pelajar kembali ke asrama secara berperingkat

SHAH ALAM, 1 JULAI: Sekolah berasrama boleh dibuka semula sekiranya mempunyai kapasiti mencukupi setelah mengambil kira penjarakan sosial, kata menteri kanan (kluster pendidikan).

Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata hanya sebahagian pelajar sahaja dibenarkan tinggal di asrama yang mempunyai ruang terhad disebabkan penggunaan katil dua tingkat dan perkara itu diteliti bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mengikut saranan KKM, pada peringkat awal kemasukan, pelajar hanya boleh menggunakan katil bawah sahaja. Namun, selepas tempoh 14 hari kumpulan pelajar baharu dibenarkan masuk ke asrama dengan menempatkan kumpulan sedia ada di katil atas manakala yang baharu di bawah. Prosedur ini diteruskan sehingga semua pelajar dapat tinggal di asrama,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata secara umumnya semua pelajar dijangka kembali ke asrama dalam tempoh 28 hingga 42 hari daripada 24 Jun untuk asrama yang menggunakan katil dua tingkat.

Bagaimanapun, tempoh untuk pelajar kembali ke asrama bergantung kepada bilangan dan akan ditetapkan pentadbir sekolah.


Pengarang :