Orang ramai memakai penutup hidung dan mulut semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas sebagai langkah berjaga-jaga susulan penularan Covid-19 pada 12 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tiada lagi kuarantin di rumah terhadap individu dari luar negara

SHAH ALAM, 21 JULAI: Kerajaan memutuskan tiada lagi kuarantin wajib di rumah, sebaliknya mereka yang tiba dari luar negara perlu berbuat demikian di stesen yang ditetapkan Jumaat ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga berkata individu terbabit perlu menanggung kos selama 14 hari itu sepenuhnya.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersama Kementerian Kesihatan akan mengenal pasti serta mewartakan institut latihan awam atau hotel yang bersesuaian sebagai stesen kuarantin.

“Susulan keputusan ini, rakyat Malaysia yang ingin pulang ke Malaysia tidak lagi diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 di negara asal dalam tempoh tiga hari sebelum tarikh penerbangan, namun bagi warga asing mereka perlu membuat saringan terbabit,” katanya pada sidang media, hari ini.

Pada 10 Jun lalu, kerajaan mengarahkan rakyat yang pulang dari luar negara menjalani kuarantin wajib di rumah masing-masing, bukan di pusat yang ditetapkan.

Ismail turut kesal dengan kes tular pesakit di bawah pengawasan Covid-19 yang didakwa mengingkari arahan tersebut dan makan di sebuah restoran di Meru Raya.


Pengarang :