Orang ramai yang berjalan di sekitar bandar raya Kuala Lumpur mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka bagi mencegah penularan Covid-19 ketika tinjauan pada 28 Mei 2020. Foto AFP
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tidak pakai pelitup muka, pengguna SELangkah boleh lapor

SHAH ALAM, 22 JULAI: Pengguna aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) kini boleh membuat laporan sekiranya melihat ada individu tidak memakai pelitup muka di dalam mana-mana premis.

Ia boleh dilakukan apabila mereka mengimbas kod QR sebelum memasuki premis atau bangunan kerajaan.

Tinjauan SelangorKini mendapati, pengguna perlu menjawab soalan iaitu ‘Berapa orang yang anda perhatikan tidak bertopeng muka di sini?, kosong (0) atau 1-4 atau 5 dan lebih’.

 

Selain soalan berkenaan, pengguna juga akan diberi soalan, ‘Adakah orang di hadapan anda memakai pelitup muka (facemask) dengan betul (menutup hidung dan mulut)?’

Langkah berkenaan dilihat selari dengan saranan Kementerian Kesihatan (KKM) yang kini sedang meneliti cadangan sama ada akan mengenakan denda RM1,000 atau penjara bagi individu yang tidak memakainya di tempat awam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua hukuman itu sedang dipertimbangkan untuk dilaksanakan dan pengenalannya termaktub dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Pada 15 Julai lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan seramai 6.15 juta individu sudahpun menggunakan aplikasi SELangkah dibangunkan Kerajaan Selangor.

Ia mula diperkenalkan 4 Mei lalu bagi menjejak jangkitan Covid-19 di mana-mana premis perniagaan atau pejabat bagi memudahkan pengesanan kontak jika berlaku.

Pemilik premis hanya perlu mencetak kod QR melalui portal selangkah.mbiselangor.com.my atau selangkah.my dan mempamerkannya untuk diimbas pengunjung.


Pengarang :