AGENSISELANGOR

Tourism Selangor-ITC perkenal pakej pelancongan Islamik

SHAH ALAM, 15 JULAI: Tourism Selangor dan Islamic Tourism Centre (ITC) bekerjasama memperkenalkan Pakej Jejak Warisan Islam dan pembinaan Pakej Mesra Muslim.

Pengurus besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata pakej itu beri peluang kepada Hos Komuniti memasarkan pakej baharu produk pelancongan bertemakan ciri Islamik.

“Ini juga selaras dengan pelaksanaan Kempen Pelancongan Domestik Tourism Selangor, “Pusing Selangor Dulu” yang mula digerakkan sempena penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Bengkel Pembentangan Cadangan Pakej Mesra Muslim Oleh Hos Komuniti Selangor di PNB Hotel Kuala Lumpur semalam.

Azrul Shah berkata kepelbagaian pakej yang diperkenalkan memberi nilai tambah kepada industri pelancongan Selangor.

“Aktiviti seperti pelaksanaan ibadah akikah, tutorial pengurusan jenazah, pembuatan batu nisan dan perubatan Islam juga boleh dipasarkan sebagai tarikan pelancongan di negeri ini.

“Hal ini membuktikan Selangor sebagai sebuah destinasi pelancongan serba mempesona, ditambah pula dengan pakej pelancongan bercirikan Islamik terbaharu mempunyai potensi untuk dikomersialkan sebagai tarikan unik dan tersendiri,” katanya.

 


Pengarang :