Keadaan trafik di Plaza Tol Gombak menghala ke pantai timur kelihatan sesak berikutan warga kota mula bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidiladha pada Jumaat ini ketika tinjauan pada 29 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Trafik harian LPT2 meningkat 70 peratus menjelang Aidiladha

KUALA TERENGGANU, 30 JULAI: Pengendali lebuh raya LPT2 Sdn Bhd menjangka Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 akan mengalami peningkatan kenderaan sehingga 70 peratus atau 35,000 sehari menjelang sambutan Aidiladha pada Jumaat ini.

Dalam kenyataannya semalam, Pengarah Eksekutif LPT2 Datuk Azman Ismail berkata secara purata, kira-kira 13,000 kenderaan menggunakan lebuh raya itu pada hari-hari biasa.

Menurutnya, bagi melancarkan perjalanan, buat pertama kali LPT2 bekerjasama dengan ANIH Berhad, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan memperkenalkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA), melibatkan keseluruhan laluan lebuh raya di pantai timur (E8).

Bermula hari ini (semalam) dan esok (hari ini), pengguna dari Kuala Lumpur/Selangor menuju ke Pahang dinasihati memasuki lebuh raya antara 10 pagi hingga 1 tengah hari atau 8 malam hingga 11 malam, manakala bagi perjalanan ke Terengganu dan Kelantan, waktu disarankan ialah 6 pagi hingga 10 pagi atau 5 petang hingga 10 malam.

Bagi perjalanan pulang ke Kuala Lumpur/Selangor pada 1 dan 2 Ogos, pengguna dari Pahang disaran berada di lebuh raya antara 6 pagi dan 10 pagi atau 7 malam hingga 11 malam, manakala pengguna dari Terengganu (melalui Plaza Tol Kuala Terengganu) dicadang memasuki lebuh raya bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari atau 8 malam hingga 10 malam.

Pelanggan dari Kelantan (melalui Plaza Tol Kuala Terengganu) pula dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya bermula 5 petang hingga 9 malam atau 9 malam hingga 12 tengah malam.

Maklumat trafik bagi KLK dan LPT1 boleh hubungi talian LPT-Line di 1700-818-700 atau mengikuti Facebook Lebuhraya Pantai Timur dan laman Twitter di @LPTTrafik, sementara bagi LPT 2, orang ramai boleh dapatkan maklumat terkini antaranya menerusi Twitter @LPT2Trafik atau menghubungi talian LPT2Line di 1800 88 0220.

-BERNAMA


Pengarang :