Trafik perlahan 13 km arah Utara dari Terowong Menora ke K.Kangsar kesan insiden kenderaan rosak di KM 244.6 NB menghalang lorong kiri pada 29 Julai 2020. Foto FB Lembaga Lebuhraya Malaysia
AGENDANASIONAL

Trafik perlahan di lebuh raya utama malam ini

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama didapati perlahan malam ini, berikutan orang ramai mula pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidiladha Jumaat ini.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi berkata bagi perjalanan ke utara, aliran trafik dilaporkan perlahan dari Slim River menuju Sungkai serta Sungkai ke Gopeng berikutan pertambahan jumlah kenderaan di lebuh raya.

“Trafik juga perlahan sejauh 11 km dari Terowong Menora ke Kuala Kangsar berikutan terdapat sebuah lori rosak,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik menuju Pantai Timur perlahan di Plaza Tol Gombak ke Bukit Tinggi serta dari Lentang ke Plaza Tol Bentong.

Bagaimanapun, katanya aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 lancar di kedua-dua arah setakat ini.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

– BERNAMA


Pengarang :