AGENDANASIONAL

Universiti Sunway guna poster selebriti amal jarak sosial

SHAH ALAM, 5 JULAI: Universiti Sunway menggunakan pendekatan kreatif meletakkan poster selebriti terkenal bagi menggalakkan petugas dan pelajar mengamalkan penjarakan sosial apabila kembali ke kampus.

Antara selebriti tempatan menjadi pilihan universiti itu adalah penghibur popular, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Yuna; chef terkenal, Datuk Redzuawan Ismail serta dua bintang sukan, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David.

Manakala bintang antarabangsa pula ialah Rowan Atkinson atau Mr Bean, Will Smith, Ed Sheeran dan Taylor Swift selain jaguh bola sepak Barcelona dan Argentina, Lionel Messi.

Pihak pengurusan universiti itu meletakkan poster-poster berkenaan di bilik kuliah, perpustakaan, ruangan menunggu dan juga tempat makan bagi mengekang penularan Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan Sunway, Dr Elizabeth Lee berkata pihaknya sedang membuat persiapan rapi bagi membolehkan ruang kampus lebih selamat apabila pelajar kembali menyambung pengajian.

Katanya, seiring dengan pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi, kini pelajar bagi pasca-siswazah mod penyelidikan sudah dibenarkan pulang ke kampus.

“Kemasukan pelajar ke institusi pendidikan kami juga akan dilakukan secara berperingkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Kami amat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan dan pihak pengurusan akan terus membuat pemantauan dari masa ke semasa di sekitar kampus,” katanya dalam kenyataan.


Pengarang :