Sesi penangguhan sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 16 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Usul desak Persekutuan gubal undang-undang antilompat parti diluluskan

SHAH ALAM, 16 JULAI: Usul bagi mendesak Kerajaan Persekutuan menggubal undang-undang antilompat parti dalam kalangan ahli Dewan Rakyat dan negeri diluluskan Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Speaker, Ng Suee Lim berkata usul yang dibawa Ahli Dewan Negeri (ADN), Rajiv Rishyakaran itu akan dihantar dalam tempoh dua minggu kepada Parlimen untuk diteliti.

Katanya, usul itu mendapat persetujuan dan sokongan daripada wakil rakyat daripada kerajaan dan pembangkang.

Speaker DNS, Ng Suee Lim ketika sesi penangguhan Sidang Dewan Negeri Selangor Mesyuarat kedua Penggal ketiga yang ke – 14 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 16 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“DNS hari ini meluluskan usul untuk mendesak Kerajaan Persekutuan menggubal undang-undang antilompat parti bagi menghalang ADN dan ahli parlimen lompat parti, sekiranya ia berlaku, mereka perlu mengosongkan kerusi demi pertahankan mandat rakyat.

“Isu lompat parti sememangnya menjadi kemarahan rakyat, oleh itu sudah sampai masanya kita memikirkan langkah munasabah untuk mencari penyelesaian terbaik, tidak guna kita berdebat perkara yang tidak berkesudahan ini,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menghadiri Sidang DNS, di sini, hari ini.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sesi perbahasan usul berkenaan berkata isu lompat parti membabitkan keselamatan dan kemakmuran di antara Kerajaan Persekutuan dan juga negeri-negeri.

“Kepimpinan yang tidak jelas ketika negara dilanda Covid-19 menyebabkan kes positif meningkat secara mendadak.

“Setelah itu, negara terpaksa berdepan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, ini adalah pengajaran terbesar kita akibat daripada kes lompat parti,” katanya.


Pengarang :