AGENDABERITA UTAMANASIONAL

‘Utamakan Keselamatan’ dalam industri pelancongan, elak kemalangan

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Menguatkuasakan peraturan ‘Utamakan Keselamatan’ yang komprehensif adalah amat penting buat industri pelancongan kerana ia boleh mengurangkan jumlah kecederaan dan kematian, kata Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye.

Lee berkata langkah itu penting kerana terdapat risiko yang boleh berlaku dalam setiap aktiviti di dalam dan luar bangunan, malah media juga menyiarkan banyak berita melibatkan kemalangan.

Justeru, beliau mengingatkan kepada para pelancong agar sentiasa berhati-hati ketika melakukan kegiatan di luar seperti mendaki gunung, selam skuba, selam permukaan (snorkeling), berakit, flying fox dan lompatan bungee.

“Saya juga menggesa pengusaha hotel, penyedia perkhidmatan pelancongan dan pelancong supaya menitikberatkan perkara berkaitan keselamatan dan kesihatan mereka serta secara sukarela memasukkan tatacara operasi piawai (SOP) tambahan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) untuk industri perhotelan.

“Aktiviti yang melibatkan risiko tinggi dan teknikal juga memerlukan Pasukan Tindakan Kecemasan serta pembantu kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan sektor pelancongan domestik dibenarkan beroperasi semula mulai 10 Jun bagi membantu negara mempercepat fasa pemulihan ekonominya.

Lebih-lebih lagi katanya, melaksanakan OSH untuk industri perhotelan melibatkan amalan HIRARC – pengenalpastian bahaya, penaksiran risiko dan kawalan risiko – yang penting untuk semua dalam industri berkenaan bagi memastikan percutian dan aktiviti rekreasi yang dilakukan bebas daripada sebarang kemalangan.

“Kemalangan ini (kecederaan dan kematian melibatkan aktiviti di dalam dan luar bangunan) boleh dicegah dan audit keselamatan awal oleh pengendali industri akan mengenal pasti potensi bahaya ini dan membolehkan tindakan pencegahan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata destinasi pelancongan perlu memastikan penggunaan semua kemudahan di bawah kawalan mereka seperti bot, peralatan, tempat barbeku, trek joging dan tandas adalah bebas risiko.

Selain itu kata Lee, komitmen kepada OSH selain pematuhan terhadap semua SOP untuk pencegahan jangkitan Covid-19 juga mewujudkan suasana yang baik untuk perniagaan bagi pengusaha pelancongan dan pihak lain dan industri perhotelan.

“Pelancong, pemandu pelancong juga boleh terdedah kepada banyak isu OSH, termasuk bahaya fizikal dan psikososial kerana pemandu pelancong mengalami waktu kerja yang panjang dan memenatkan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :