AGENSISELANGOR

Wakaf Selangor, MBI tentukan pelaburan sesuai dana RM50 juta

SHAH ALAM, 14 JULAI: Perbadanan Wakaf Selangor sedia berbincang dengan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) untuk menguruskan dana RM50 juta menerusi Pelaburan Waaqaf yang diumumkan dalam pakej rangsangan ekonomi fasa ketiga semalam.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata pihaknya berterima kasih kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di atas pengumuman peruntukan berkenaan dan bersedia untuk memenuhi hasrat Kerajaan Negeri.

“Kami menyambut baik dan berterima kasih di atas pembentangan inisiatif semalam. InsyaAllah kita sedia berbincang dengan MBI dalam masa terdekat untuk menentukan proses dan pelaksanaannya demi kebaikan umat Islam di Selangor,” kata Dato’ Mohammad Yacob ketika dihubungi SelangorKini.

Inisiatif Pelaburan Waaqaf berjumlah RM50 juta itu bertujuan mengatasi kemiskinan bandar, selain mengurangkan beban kos sara hidup atau menghapuskan hutang isi rumah.

Amirudin dalam ucapannya berkata hasil pelaburan patuh syariah itu akan diagihkan kepada golongan sasar.

Pelan pemulihan pasca Covid-19 itu menekankan tiga tonggak utama iaitu jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan bagi menangani impak wabak itu.

Jumlah keseluruhan nilai ekonomi bagi pakej tersebut ialah RM55.85 bilion.


Pengarang :