Perbadanan Wakaf Selangor (PWS).
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Wakaf Selangor terima kutipan RM350 juta sejak 2011

SHAH ALAM, 21 JULAI: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menerima kutipan wakaf berjumlah RM350 juta dari 2011 hingga 2019.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata kutipan itu diterima menerusi wakaf am, tunai dan khas yang diagihkan kepada beberapa kategori penerima.

“Sehingga 2018, RM142 juta disalurkan bagi pembinaan dan pembaikan masjid-masjid dan surau-surau, pembangunan sektor pendidikan serta projek-projek am, khas dan manfaat,” kata Dato’ Mohammad Yaacob kepada Selangorkini.

Beliau berkata PWS turut menyalurkan agihan fisabilillah kepada 43 institusi berjumlah RM1.276 juta.

Mohammad menjelaskan sumbangan itu digunakan bagi pembangunan aset kekal seperti membina dan menaik taraf bangunan, pemasangan karpet serta sistem siar raya.

“Institusi yang menerima sumbangan merangkumi masjid, surau dan sekolah sekitar Selangor,” katanya.

Tambahnya, agensi itu turut menyumbang kerusi roda kepada Hospital Sungai Buloh, pemasangan tangga bergerak di Masjid Negeri Shah Alam dan pembelian buku perpustakaan ke Pusat Pengajian Islam Oxford, United Kingdom.


Pengarang :