Selangorkini
Sesi penangguhan sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 16 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat bahas cara matang, pelan pemulihan lulus sebulat suara

SHAH ALAM, 17 JULAI: Semua wakil rakyat termasuk pembangkang berbahas secara matang dan profesional hingga usul pelan pemulihan ekonomi diluluskan sebulat suara pada 15 Julai lalu.

Pelan lanjutan dua fasa pakej rangsangan Selangor Prihatin pada Mac dan April lalu bagi memulihkan ekonomi negeri dan membantu rakyat yang terjejas susulan Covid-19.

“Wakil rakyat sangat prihatin terhadap keadaan di Selangor dan bersetuju menyokong usul ini sebulat suara bagi menjamin pembangunan serta kebajikan rakyat dalam konteks pemulihan ekonomi,” kata Speaker Dewan Negeri Ng Suee Lim ketika dihubungi.

Pada 13 Julai lalu, Dato’ Menteri Besar membentang pelan pemulihan yang menekankan tiga tonggak utama iaitu jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan.

Keseluruhan nilai ekonomi rancangan tersebut adalah RM55.85 bilion. Sehingga kini, sebanyak RM260.14 juta dibelanjakan yang memberi manfaat kepada lebih separuh penduduk Selangor.

Suee Lim yang juga wakil rakyat Sekinchan berkata dua lagi usul dibawa Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran serta tiga penyata jawatankuasa turut diluluskan.

Beliau juga merakam penghargaan kepada petugas yang hadir ke dewan kerana mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.


Pengarang :