Penyertaan untuk Akademi Kepimpinan Wanita sesi 2020/2021 dibuka sehingga 16 Ogos 2020.
EXCOSELANGOR

Wanita dipelawa sertai akademi kepimpinan sesi 2020/2021

SHAH ALAM, 18 JULAI: Wanita berusia 21 hingga 50 tahun dipelawa menyertai Akademi Kepimpinan Wanita bagi sesi pengambilan 2020/2021.

EXCO pemberdayaan wanita dan keluarga berkata akademi anjuran Institut Wanita Berdaya Selangor (IWB) bermatlamat memantap kemahiran, mencungkil bakat dan melahirkan lebih ramai pemimpin dalam politik serta kerja sosial.

“Menerusi akademi ini peserta akan dilatih menjadi lebih berani, mahir dan cekap memimpin organisasi. Mereka yang berpotensi akan dicalonkan menjawat jawatan kepimpinan.

“Matlamat kita untuk menyediakan barisan pimpinan wanita di setiap peringkat sekali gus mencapai sasaran minimum 30 peratus penglibatan kaum hawa sebagai pembuat keputusan,” kata Dr Siti Mariah Mahmud dalam kenyataan.

Yuran pengajian dibiayai sepenuhnya Kerajaan Negeri dan terhad kepada 100 orang terawal. Calon boleh memohon di https://bit.ly/akw2122 sebelum 16 Ogos ini.

Program itu diadakan setiap Selasa bermula jam 6 petang hingga 9 malam di Perpustakaan Awam Selangor. Ia menawarkan empat modul merangkumi 12 subjek gabungan kuliah fizikal, pembelajaran dalam talian dan kerja lapangan selama 18 bulan.

Syarat kelayakan:
1. Warganegara Malaysia.
2. Lahir di Selangor atau bermastautin di negeri ini lebih tiga tahun.
3. Berminat dengan kerja kemasyarakatan.
4. Ingin menggilap kemahiran kepimpinan, pengurusan organisasi, insaniah dan politik.
5. Peserta dipilih dalam kalangan pemimpin wanita pada peringkat komuniti dan berpotensi dari Pusat Wanita Berdaya.


Pengarang :