EXCO Kerajaan Negeri Ir Izham Hashim menyerahkan surat bantuan petani pada Majlis Penyerahan Bantuan Pertanian Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Covid-19 Jabatan Pertanian Selangor di Pusat Pertanian Meru, Klang pada 8 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Warta lebih banyak tanah pertanian, tampung keperluan industri makanan

KLANG, 8 JULAI: Kerajaan Negeri akan mewartakan beberapa kawasan di Selangor sebagai tanah pertanian dalam tempoh tiga bulan bagi membolehkan jaminan keselamatan makanan negara dilaksanakan secara berterusan.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata pihaknya sedang mengenal pasti dan mengumpulkan maklumat mengenainya kerana ada kawasan tanah di bawah anak syarikat Kerajaan Negeri, Jabatan Pertanian, Pejabat Daerah dan Tanah termasuk yang terbiar.

“Ada yang sudah diwartakan tetapi kita mahu jumlahnya mencukupi dan terjamin untuk masa akan datang.

“Penularan Covid-19 menyebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberikan hikmah kepada semua bahawa industri pertanian dan makanan perlu diberikan perhatian penting di sebalik kemajuan pembangunan,” katanya ketika sidang media di Pejabat Petanian Meru di sini hari ini.

Beliau berkata tanah berkenaan akan dibahagikan mengikut kategori tanaman sesuai seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Agro Selangor.

“Jawatankuasa Tetap Pertanian negeri sudah mengenal pasti 12 bentuk tanaman sesuai untuk dibangunkan mengikut keperluan pengguna di samping meningkatkan ekonomi setempat dan turut menggalakkan lebih ramai belia menceburi bidang pertanian bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import makanan,” katanya.

Izham sebelum itu menyampaikan bantuan pertanian dalam tempoh PKP Pemulihan Covid-19 berjumlah RM385,500 yang bakal diagihkan kepada 948 warga tani bagi kategori tanaman.

Ketika pelaksanaan PKP, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.5 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin Fasa 2.0 bagi membantu petani, penternak dan nelayan.


Pengarang :