Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Wisma Putra teliti rancangan, kos bawa pulang rakyat terkandas

SHAH ALAM, 6 JULAI: Kementerian Luar Negeri diminta meneliti rancangan dan kos membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata setakat ini Wisma Putra mengenal pasti 10,484 orang yang terlibat serta berpotensi dikaitkan dengan situasi itu membabitkan pelajar dan pekerja.

“Kerajaan sedang berusaha untuk memudah cara kepulangan mereka namun terdapat beberapa kekangan peraturan negara asing termasuk larangan pesawat asing untuk mendarat di negara mereka,” kata menteri kanan (kluster keselamatan) ketika sidang media di Putrajaya.

Beliau berkata dianggarkan 457,000 rakyat Malaysia berada di luar negara dan 387,702 orang daripadanya berdaftar dengan perwakilan Malaysia.

Ismail Sabri berkata Kerajaan menyeru mereka yang masih tidak berdaftar untuk berbuat demikian dalam masa terdekat.

Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP turut mencadangkan supaya Tabung Covid-19 di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diperluaskan dan menyeru orang ramai menderma bagi membantu usaha membawa pulang rakyat Malaysia.


Pengarang :