AGENSISELANGOR

Yayasan Selangor tuntut Rizam Ismail mohon maaf

SHAH ALAM, 15 JULAI: Yayasan Selangor membantah sekeras-kerasnya tuduhan dan menuntut permohonan maaf daripada Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail berhubung kenyataan penjualan aset yang dibuat di Dewan Negeri Selangor semalam.

Agensi memaklumkan kenyataan itu didakwa berbentuk fitnah yang boleh menjejaskan reputasi dan nama baik Yayasan Selangor termasuk pengurusan tertinggi dan ahli lembaga pemegang amanah.

“Sekiranya beliau gagal berbuat demikian dalam tempoh terdekat, Yayasan Selangor akan mengambil tindakan yang sewajarnya, termasuklah tindakan perundangan bagi menjaga nama baik, reputasi dan imej Yayasan Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pihaknya memaklumkan pelupusan aset dikenal pasti sebagai langkah terbaik demi kelangsungan dan keutuhan dana melalui proses tawaran terbuka malah tindakan itu dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah.

“Yayasan Selangor mengambil tindakan terbaik dan menguntungkan di mana, aset-aset yang kurang strategik dan mempunyai kos penyelenggaraan yang tinggi tetapi memberikan pulangan yang rendah perlu diteliti semula pemilikannya.

“Penilaian harta dilakukan oleh jurunilai berdaftar dalam menentukan kadar harga jualan aset-aset berkenaan dan tidaklah seperti mana nilaian yang ditohmahkan oleh Rizam Ismail,” katanya.

Rizam dalam sidang media semalam dilaporkan berkata sebarang tindakan penjualan aset harus dibuat secara rasional dengan justifikasi munasabah selain meminta Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari membatalkan penjualan aset berkenaan.


Pengarang :