Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari memakaikan pelitup muka kepada pelajar ketika edaran pelitup muka percuma Selangor kepada pelajar di Sekolah Rendah Agama Islam Seksyen 19, Shah Alam pada 28 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

1.3 juta pelitup muka boleh guna semula percuma diagih ke sekolah

SHAH ALAM, 28 OGOS: Kerajaan Selangor mengagih 1.3 juta pelitup muka boleh guna semula kepada 995,000 pelajar di negeri ini mulai hari ini secara percuma bagi meringankan beban keluarga mereka.

Dato’ Menteri Besar berkata penyerahan ke semua sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan dan sekolah agama kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pula akan dibuat minggu depan.

“Pada 1 September, kita akan serahkan ke setiap daerah dan saya berharap pengarah pendidikan daerah, jabatan pendidikan dan bahagian pendidikan Jais memastikan pelitup muka ini dapat diserah kepada pelajar,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Semoga anak-anak dan para guru dapat memanfaatkan pelitup muka ini bagi tujuan keselamatan semasa di sekolah.”

Beliau menyerahkan alat itu kepada pengurusan Sekolah Rendah Agama Integrasi Seksyen 19 di sini pagi tadi, yang pertama menerima alat itu di negeri ini. Serahan dibuat kepada Guru Besar Filzah Mohd Nor.

Amirudin menjelaskan pelitup muka berkenaan direka bentuk bertema bendera negeri serta menepati piawaian Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sementara itu, Filzah berterima kasih kepada Dato’ Menteri Besar kerana memilih sekolahnya sebagai penerima pertama. Pengagihan alat itu dilakukan pengurusan sekolah hari ini melalui guru kelas kepada 1,308 pelajar.

Pada 29 Julai lalu, Dato’ Menteri Besar berkata pelitup muka itu akan diedar kepada pelajar sekolah dengan keutamaan kepada mereka dari keluarga berpendapatan rendah (B40).

Katanya, langkah itu bagi mengekang penularan Covid-19 kerana golongan itu terikat dengan penjarakan sosial ketika di sekolah tetapi bebas di luar sekolah.


Pengarang :