AGENDASUKANKINI

10 atlet para negara layak ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Majlis Sukan Negara (MSN) mengesahkan seramai 10 atlet para negara sudah melayakkan diri ke temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Ia melibatkan sukan renang, memanah, olahraga, boccia dan powerlifting.

Pengarah Bahagian Paralimpik MSN Mohd Sofian Hamzah berkata sasaran sebenar jumlah atlet untuk dihantar ke Tokyo adalah seramai 31 orang dan pihaknya masih dalam proses pemantauan dan penilaian sebelum membuat sebarang ketetapan.

“Kami masih memantau perkembangan mereka (atlet) sebelum mengumumkan senarai penuh kerana ada yang mengalami kecederaan dan ada masih belum mencapai tahap prestasi terbaik,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tajaan kasut Bata kepada Kontinjen Sukan Paralimpik negara ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, Pengurus Pemasaran Bata Malaysia Diana Wong dan Konsultan Bata Malaysia Datuk James Selvaraj.

Sepuluh atlet Para yang sudah mengesahkan slot ke Tokyo 2020 adalah Muhd Nursaiful Zulfikri dan Brenda Anelia (renang); S Suresh dan Wiro Julin (memanah); Muhammad Ziyad Zolkefli, Wong Kar Gee, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Abdul Latif Romli (olahraga); Chew Wei Lun (boccia) dan Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting).

Sebelum ini, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 dan Kerajaan Jepun bersetuju untuk meminda tarikh penganjuran Sukan Paralimpik 2020 yang sepatutnya berlangsung dari 25 Ogos hingga 6 September 2020 kepada 24 Ogos hingga 5 September 2021 susulan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Megat D Shariman berkata cadangan untuk membina sebuah sekolah sukan khas untuk atlet para di negara ini sedang dibincangkan bersama Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan dan MSN.

-BERNAMA


Pengarang :