Pengawal keselamatan memeriksa suhu badan pengunjung pusat beli-belah di Bangkok pada 4 Februari 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

11 kontak rapat pesakit Malaysia bebas Covid-19

BANGKOK, 20 OGOS: Sebelas individu yang mempunyai kontak rapat dengan seorang lelaki Malaysia yang diuji positif Covid-19 selepas pulang ke Kuala Lumpur dari Bangkok telah disahkan negatif virus itu.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Suwannachai Wattanayingcharoenchai berkata, pegawai kesihatan berjaya mengesan dan melakukan pemeriksaan terhadap kontak rapat lelaki berusia 46 tahun itu, iaitu 10 individu di Bangkok dan seorang di Chiang Mai (wanita Thailand berusia 36 tahun yang dibawa dari Bangkok ke Chiang Mai pada 17 Ogos)

“Sehingga kini, tidak ada bukti di mana dia dijangkiti virus itu.

“Jabatan Kawalan Penyakit akan bekerjasama dengan rakan sejawat di Malaysia bagi mendapatkan maklumat berhubung kes tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Lelaki itu tinggal di Bangkok dan kembali ke Malaysia pada 5 Ogos. Dia diuji negatif dalam ujian Covid-19 yang pertama dan positif dalam ujian kedua pada 15 Ogos.

Sehingga kini, Thailand merekodkan lebih 86 hari tanpa jangkitan tempatan.

Sementara itu, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) dalam satu kenyataan berkata seorang wanita Thailand berusia 37 tahun yang kembali dari India merupakan satu-satunya pesakit baharu Covid-19 di negara itu, sepanjang tempoh 24 jam.

Menurut CCSA, pesakit berkenaan berada dalam penerbangan yang sama dengan 18 kes sebelum ini yang disahkan positif sebaik tiba di negara itu pada 8 Ogos.

Setakat ini, Thailand merekodkan jumlah keseluruhan 3,378 kes dengan 58 kematian.

– BERNAMA


Pengarang :