Orang ramai menggunakan pelitup muka di tempat awam bagi mengawal penularan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

13 kes baharu Covid-19, sembilan kes import

SHAH ALAM, 9 OGOS: Sebanyak 13 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan sembilan kes import membabitkan lima warganegara dan empat warga asing, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata enam kes mendapat jangkitan dari China, India dan Jepun manakala satu kes masing-masing direkodkan daripada individu dari Ireland, Indonesia dan Yaman.

“Setakat jam 12 tengah hari tadi terdapat juga empat kes penularan tempatan yang semuanya melibatkan warganegara.

“Tiga kes di Pulau Pinang, dua berkait kluster PUI Sivagangga dan satu kluster baharu, kluster Kurau. Satu kes membabitkan kluster baharu turut dikesan di Putrajaya iaitu kluster Meranti. Ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 9,083 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata 174 kes adalah aktif dengan kebolehjangkitan namun sudah disaring dan diberi rawatan.

“Hanya seorang pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) namun tidak memerlukan bantuan pernafasan. Tiada kematian baharu. Kes kumulatif kekal 125 iaitu 1.38 peratus.

“Hari ini sembilan kes disahkan pulih dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah sembuh 8,784 kes iaitu 96.7 peratus,” katanya.


Pengarang :