Anggota Polis Pelancong dari Balai Polis Masjid India, Sarjan Mejar Abd Manab Baki (tengah) memberi nasihat dan penerangan kepada orang awam supaya tidak bersiar-siar tanpa tujuan penting ketika membuat rondaan di sekitar jalan Masjid India pada 20 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

180 individu ditahan, 16 direman gagal patuh SOP PKPP

SHAH ALAM, 8 OGOS: Seramai 180 individu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ditahan semalam, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu 16 orang direman manakala 164 dikenakan kompaun kerana terlibat aktiviti kehadiran ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal.

“Sebanyak 57,066 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa tatacara operasi piawai (SOP) PKPP dilakukan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan membabitkan 11,705 anggota semalam.

“Pemantauan meliputi 3,489 pasar raya, restoran (5,394), penjaja (1,458), kilang (930), bank (3,550) dan pejabat kerajaan (790),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri pemantauan turut dilakukan di 1,375 terminal pengangkutan darat, 278 terminal pengangkutan air serta 123 terminal pengangkutan udara.


Pengarang :