Kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam dan kawasan sesak bermula 1 Ogos.
AGENDANASIONAL

26 individu dikompaun gagal pakai pelitup muka

JOHOR BAHRU, 1 OGOS: Sebanyak 26 kompaun dikeluarkan terhadap orang awam di Kota Tinggi kerana gagal memakai pelitup muka yang diwajibkan oleh kerajaan bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora berkata kompaun itu dikeluarkan susulan operasi dijalankan di pantai awam Batu Layar, Bayu Damai dekat sini.

“Kesemua mereka didapati gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan protokol yang telah ditetapkan bagi mencegah penularan pendemik Covid-19.

“Mereka telah dimaklumkan mengenai kesalahan itu dan kompaun bernilai RM1,000 diberikan mengikut Perkara 10, Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB)(No 7) 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Hussin, polis memberi amaran keras malah tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar SOP berkenaan.

Pemakaian pelitup separuh muka adalah diwajibkan di tempat awam bermula 1 Ogos berikutan kerajaan menyedari terdapat trend peningkatan jangkitan kes Covid-19 dalam kalangan rakyat, selain berkurangnya pematuhan orang awam terhadap SOP ditetapkan.

Keputusan mewajibkan pemakaian pelitup muka itu diumumkan Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri pada 23 Julai lepas.

– BERNAMA


Pengarang :