Sebanyak 34,090 kes demam denggi dilaporkan di Selangor dari Januari hingga 1 Ogos.
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

32 maut akibat denggi sejak Jan, turun berbanding tahun lalu

SHAH ALAM, 4 OGOS: Jumlah kematian akibat denggi di Selangor menurun dengan 32 kematian dicatatkan sejak awal Januari hingga 1 Ogos berbanding 36 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor berkata sebanyak 34,090 kes demam denggi dilaporkan di negeri ini sehingga minggu epid (ME) 31 berbanding 44,401 kes tahun lalu.

“Jumlah lokaliti wabak denggi aktif adalah sebanyak 301 dengan perincian lokaliti panas sebanyak 37, wabak tidak terkawal (28), wabak terkawal (225) dan wabak baru (satu).

“Lima daerah utama mencatatkan kes demam denggi tertinggi adalah Petaling (12,138), Hulu Langat (6,485), Klang (6,105), Gombak (4,887) dan Sepang (1,896),” kata Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman dalam kenyataan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai memastikan tiada bekas atau tempat pembiakan nyamuk Aedes di kediaman mereka, selain menggunakan racun pemusnah jentik-jentik.

“Masyarakat juga perlu guna semburan ‘indoor aerosol’ dalam rumah bagi membunuh nyamuk dewasa dan pihak pengusaha bas pengangkutan awam juga disaran melaksanakan semburan sama dalam kenderaan sebelum memulakan perjalanan,” katanya.


Pengarang :