V. Ganabatirau menyerahkan sumbangan bantuan rumah ibadat bukan Islam Fasa 3 dan 4 bagi tahun 2020 berlangsung di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam pada 10 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

39 kuil dapat bantuan Kerajaan Negeri, anjur program bantu rakyat

SHAH ALAM, 10 OGOS: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM345,000 kepada 39 rumah ibadat bukan Islam (kuil) di Selangor bagi menjayakan program bantuan kepada keluarga terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau berkata bantuan fasa ketiga dan keempat itu membolehkan kuil berkenaan menjalankan aktiviti kepada masyarakat India selain menambah baik keperluan di institusi terbabit.

“Berbanding tahun-tahun sebelum ini, Kerajaan Selangor meletakkan satu garis panduan supaya bantuan minimum kepada kuil sebanyak RM3,000, pertengahan (RM5,000) dan RM10,000 maksimum.

“Kita perlu salurkan peruntukan ini secara teratur dengan mengambil kira aktiviti dijalankan oleh kuil dan pengubahsuaian atau pembaharuan diperlukan, jadi jumlah (peruntukan kepada kuil) mungkin berbeza selepas persetujuan dibuat nersama jawatankuasa pemilihan,” katanya selepas menyerahkan peruntukan itu di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata bantuan ditawarkan itu turut mendapat sambutan menggalakkan daripada pengurusan kuil seluruh negeri malah permohonan bertambah setiap tahun.

“Justeru, saya memohon kepada pengurusan kuil di negeri ini supaya mengadakan lebih banyak program bersama rakyat melalui sumbangan diberikan kepada mereka.

“Saya juga berterima kasih kepada pihak pengurusan kuil kerana mengambil bahagian bersama Kerajaan Negeri untuk membantu lebih ramai individu memerlukan dan diharap peruntukan ini mencukupi,” katanya.


Pengarang :