Pengarah Fama Selangor, Abdul Rashid Bahri mengedarkan Jalur Gemilang kepada pengunjung Pasar Tani Stadium Shah Alam, Seksyen 13 selepas melancarkan Kempen Kibaran Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan Ke-63 pada 30 Ogos 2020. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

43 pasar tani di Selangor beroperasi sejak PKPP

SHAH ALAM, 30 OGOS: Sebanyak 43 daripada 49 pasar tani seluruh Selangor beroperasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lalu, kata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor.

Pengarahnya, Abdul Rashid Bahri berkata pasar produk tani itu dibuka mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

“Kita harap dengan ramai pengunjung membolehkan aktiviti ekonomi usahawan bertambah baik sekali gus menyumbang kepada pendapatan usahawan dan pemasar.

“Ini kerana, Fama sentiasa membantu menyemarakkan lagi pasar tani dengan memasarkan produk pertanian sama ada tanaman, perikanan atau ternakan,” katanya selepas melancarkan Kempen Kibaran Jalur Gemilang Sempena Hari Kebangsaan Ke-63 di Pasar Tani Stadium Shah Alam, hari ini.

Tambah beliau, baki pasar terbabit di Petaling (tiga), Sepang (dua) dan Kuala Langat (satu) dibuka September ini mengikut garis panduan ditetapkan Kerajaan Negeri.

“Kita sudah berurusan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membuka pasar tani tersebut dan setakat ini tiada masalah, cuma bergantung pada kesediaan usahawan.

“Ada sesetengah usahawan masih lagi mengambil langkah berhati-hati buat masa ini berikutan kebimbangan terhadap Covid-19, namun kita masih menggalakkan mereka untuk buka pasar tani berkenaan.”


Pengarang :