Pelancaran Selangor Xtiv Virtual Youth Busking oleh EXCO Kerajaan Negeri, Khairuddin Othman di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

8,000 dijangka sertai Selangor Xtiv Virtual Youth Busking

SHAH ALAM, 13 OGOS: Seramai 8,000 peserta dijangka menyertai Selangor Xtiv Virtual Youth Busking yang bermula 1 Ogos lalu hingga 30 September, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata program yang menawarkan hadiah keseluruhan RM52,000 bertujuan menyokong perkembangan aktiviti seni di peringkat akar umbi selain memberi ruang penghibur jalanan menonjolkan bakat.

“Program ini merupakan pendekatan terbaik untuk Kerajaan Negeri mendekati penghibur jalanan, malah selaras dengan sasaran Selangor Negeri Pintar menjelang 2025.

“Jadi saya harap program ini memberi peluang kepada penghibur jalanan menonjolkan kehebatan masing-masing bermain muzik atau menyanyi menerusi YouTube  Facebook dan Instagram,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Selangor Xtiv Virtual Youth Busking semalam.

Selangor Xtiv Virtual Youth Busking program kelima dianjurkan secara maya selepas Selangor Xtiv Virtual e-Sport, Selangor Xtiv Virtual Run, Selangor Martial Art Xtiv dan Selangor Xtiv Fifa Pro Club.

Dalam perkembangan sama, Mohd Khairuddin berkata seramai 123,809 peserta mendaftar Program Selangor Xtiv Virtual 2020 sejak mula dilancarkan pada 4 Mei lalu.

“Penganjuran program sukan atau aktiviti secara maya bertujuan menggalakkan masyarakat bergiat aktif sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Kerajaan Selangor komited menyediakan aktiviti bermanfaat selaras dengan kehendak golongan muda,” katanya.


Pengarang :