C.Pravin, 23, (kanan) mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan memakai apron, sarung tangan dan pelindung muka ketika menggunting rambut pelanggannya, Muhammad Muzammir Mohd Zamri, 18, semasa pemantauan SOP di Kampung Batu Hampar, pada 6 Ogos 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

81 individu ditahan ingkar PKPP, 59 dikompaun

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Seramai 81 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah itu seramai 59 individu dikompaun manakala 22 individu pula direman dengan kesalahan yang paling banyak dikesan ialah gagal menyediakan peralatan dan catatan keluar masuk pelanggan serta tidak memakai pelitup muka.

“Sebanyak 68,310 pemeriksaan juga dilakukan bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) PKPP. Ia melibatkan 4,881 pasukan pematuhan dengan 16,827 anggota pemantau yang memeriksa pasar raya, restoran, penjaja, serta terminal pengangkutan darat, air dan udara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pada masa sama seramai empat orang pendatang tanpa izin ditahan dalam Operasi Benteng yang dilakukan bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19.

Dalam tempoh itu 62 sekatan jalan raya Operasi Benteng dilakukan di seluruh negara dan 28,481 kenderaan telah diperiksa.

Sementara itu sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 17,037 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 65 hotel serta lima institut latihan awam (ILA).

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 7,419 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 56 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Seramai 9,562 individu didiscaj dan dibenarkan pulang. Kesemua mereka pulang dari 32 negara termasuk Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan dan Arab Saudi,” katanya.

Selain itu Ismail Sabri berkata polis turut mengadakan 298 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman dan kesemua individu terlibat didapati mematuhi SOP.

-BERNAMA


Pengarang :