Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Acryl Sani dilantik pemangku timbalan ketua polis negara

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai pemangku timbalan ketua polis negara berkuat kuasa hari ini.

Acryl Sani menggantikan Datuk Mazlan Mansor yang bersara wajib bermula esok.

Majlis serah terima tugas jawatan nombor dua tertinggi dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berlangsung di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab PDRM di Cheras dekat sini hari ini, disaksikan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Acryl Sani berpengalaman luas dalam bidang kepolisan dan pernah mengetuai beberapa jabatan di Bukit Aman antaranya Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Jabatan Sumber Strategik serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).

Sementara itu, Abdul Hamid menjelaskan Acryl Sani dilantik untuk memangku sementara menunggu surat perkenan pelantikan beliau daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis berkenaan, Abdul Hamid berkata dua jawatan tertinggi dalam PDRM memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum pelantikan boleh disahkan.

“Saya tidak boleh mendahului Seri Paduka kerana itulah Acryl Sani dilantik memangku jawatan berkenaan (Timbalan Ketua Polis Negara) terlebih dahulu,” katanya.

Mengulas pelantikan itu, Abdul Hamid berkata Acryl Sani mempunyai pengalaman yang cukup luas selain mencatat banyak kejayaan sepanjang perkhidmatannya termasuk dalam membanteras kegiatan penyeludupan.

Kejayaan-kejayaan ini katanya telah menyelamatkan negara daripada kerugian berbilion ringgit.

-BERNAMA


Pengarang :