Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi mengedarkan pelitup muka Jalur Gemilang kepada warga Shah Alam pada 23 Ogos 2020. Foto Facebook Najwan Halimi
ADNSELANGOR

ADN Kota Anggerik edar pelitup muka corak Jalur Gemilang

SHAH ALAM, 23 OGOS: Sebanyak 200 pelitup muka corak Jalur Gemilang diedarkan kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik hari ini sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Ahli Dewan Negerinya, Mohd Najwan Halimi berkata pemilihan mengedarkan alat itu kerana negara masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akibat pandemik Covid-19.

“Sempena bulan kemerdekaan tahun ini, saya memutuskan untuk mengedarkan pelitup muka corak Jalur Gemilang kepada warga DUN Kota Anggerik memandangkan kita masih dalam fasa PKPP.

“Serahan ini juga dapat memastikan masyarakat patuh SOP ketika berada di tempat awam sekali gus menzahirkan kecintaan dan semangat patriotik kepada negara,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Najwan berkata pelitup muka itu lebih praktikal digunakan kerana ia boleh diulang pakai selepas dicuci selain menjimatkan pengguna.

Menurut Mohd Najwan pelitup muka corak Jalur Gemilang yang diedarkan turut menjadi tarikan masyarakat luar Selangor.

“Memandangkan sambutan diterima amat menggalakkan, saya menyasarkan sebanyak 2,000 pelitup muka lagi diedarkan dalam masa terdekat,” katanya.

Hari ini beliau turun padang mengedarkan pelitup muka corak Jalur Gemilang di Pasar Moden Seksyen 6; Kebun Komuniti Seksyen 8 dan Pasar Seksyen 16.


Pengarang :