ADNSELANGOR

ADN: Sembilan wanita akademi kepimpinan dilatih, lahir pemimpin mahir

SHAH ALAM, 20 OGOS: Seramai sembilan mentee dari Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) kini menjalani latihan asas kepimpinan sebagai persiapan menjadi pemimpin berkebolehan, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang.

Rozana Zainal Abidin berkata semua peserta wanita di bawah seliaannya itu menyertai sesi kurikulum dua bulan bermula Ogos ini adalah inisiatif AKW untuk mereka berketrampilan berani, mahir dan cekap dalam memimpin organisasi.

“Sepanjang tempoh itu, saya selaku mentor akan mendidik kesemua mentee ini dengan pendedahan kepada praktikal dan teori mengenai kemahiran organisasi, kepimpinan politik serta kemahiran insaniah.

“Pengalaman saya selaku ADN dan penyelaras Dewan Undangan Negeri akan dijadikan contoh buat mereka,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Rozana berkata kesemua mentee akan dibawa turun padang untuk melihat dan merasai sendiri situasi sebenar di lapangan.

Sesi mentor mentee AKW adalah inisiatif Kerajaan Negeri di bawah Institut Wanita Berdaya yang ditubuhkan bagi mencungkil bakat wanita dan mendidik mereka menjadi pemimpin.


Pengarang :