Mohd Sany Hamzan meninjau longkang yang akan dibersihkan bagi mengelak banjir kilat di kawasan Selayang Baru.
ADNSELANGOR

ADN Templer: Bersih longkang, semak langkah awal elak banjir kilat

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kerja pembersihan longkang dan semak sekitar Selayang Baru dijalankan segera bagi mengelak banjir kilat di kawasan tersebut berulang, kata ahli dewan negeri Templer.

Mohd Sany Hamzan berkata usaha itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.

“Kita ambil pendekatan bersihkan longkang dan semak samun sekitar kawasan itu sebelum tindakan jangka panjang iaitu proses pengambilan tanah bagi kerja naik taraf anak Sungai Udang fasa dua dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Mohd Sany Hamzan menziarahi seorang pemuda yang terlantas sakit akibat kemalangan.

Mohd Sany berkata perkara itu sudah dibangkitkan dalam sidang Dewan Negeri Selangor namun ia memerlukan masa kerana melibatkan banyak pihak.

“Saya harap penduduk terus bersabar. Semoga tindakan jangka pendek yang kita lakukan ini dapat mengurangkan masalah banjir kilat yang kerap melanda,” katanya.

Semalam, Mohd Sany turut meninjau keadaan parit di Jalan 11 D Kampung Selayang Baru yang tidak terurus dengan baik dan memerlukan proses pendalaman kerana sering mengakibatkan banjir setiap kali musim hujan.

Pada masa sama, beliau turun padang untuk menziarahi seorang pemuda terlantar akibat kemalangan jalan raya dan menghulur sumbangan wang tunai.


Pengarang :