Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes menunjukkan antara barangan yang dijual di Airasia Shop selepas majlis pelancarannya di KL Sentral pada 27 Ogos 2020. Foto: BERNAMA
AGENDAEKONOMINASIONAL

AirAsia lancar platform e-dagang AirAsia Shop

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia melancarkan AirAsia Shop, platform e-dagang yang membolehkan pelanggan membeli produk tulen bebas cukai dengan kemudahan penghantaran ke rumah pada hari bekerja yang berikutnya.

Perkhidmatan baharu itu adalah dengan sokongan cabang logistik AirAsia, Teleport.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata perkhidmatan itu akan memperkukuh usaha AirAsia sebagai platform gaya hidup sehenti digital sepenuhnya di samping memberikan pelanggan kemudahan dan nilai terbaik untuk perkhidmatan beli-belah bebas cukai.

“Platform e-dagang bebas cukai ini dijangka menjadi satu daripada penyumbang utama pendapatan kumpulan AirAsia, selari dengan usaha berterusan kami untuk menjadi peneraju jenama gaya hidup digital di Asean,” katanya kepada pemberita semasa melancarkan AirAsia Shop hari ini.

Beliau berkata syarikat itu turut berhasrat mengembangkan perniagaan itu ke negara-negara Asean lain bermula dengan Thailand selepas menerima kelulusan untuk memulakan perkhidmatan jualan barangan bebas cukai di negara itu.

Tony berkata AirAsia Shop menawarkan pelbagai pilihan jenama mewah dari serata dunia bagi pelbagai kategori seperti kecantikan, minyak wangi, gajet, kesihatan, aksesori pelancongan dan cenderamata AirAsia.

Beliau berkata selain pra-tempahan untuk penghantaran dalam penerbangan dan pengambilan sendiri di lapangan terbang, syarikat penerbangan itu turut memperkenalkan perkhidmatan penghantaran ke rumah pada bila-bila masa walaupun pelanggan tidak menaiki penerbangan.

Ia turut merancang untuk membuat penghantaran ke luar negara pada masa hadapan.

-BERNAMA


Pengarang :