Laungan reformasi ketika program Majlis Jelajah Presiden ke Negeri Selangor 2020 berlangsung di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 7 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMA

Amirudin seru KEADILAN susun jentera, kumpul kekuatan

SHAH ALAM, 8 OGOS: Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Selangor diseru menyusun jentera mulai sekarang sebagai persediaan pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor berkata perkara sama juga giat dilakukan pihak lawan tetapi mereka belum mencapai kesepakatan sesama parti gabungan.

“Takkan kita hendak lihat pergaduhan mereka. Kita kena lihat nasib kita juga, jangan sampai kena serang hendap.

“Nanti kita hilang apa kita miliki. Sekarang kita kumpulkan kekuatan Pakatan (Harapan) Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika berucap di Majlis Jelajah Presiden ke Selangor malam tadi.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar juga mengingatkan ahli parti supaya sentiasa teguh dalam perjuangan dan bersikap positif meskipun berlaku pengkhianatan.

“Yakinlah kita di landasan kebenaran dan terus positif. Jangan terus menangis sedih. Biarkan yang pergi pasti ada pengganti lebih baik,” katanya dipercayai merujuk pengkhianatan bekas pemimpin sebelum ini.

Amirudin berkata KEADILAN Selangor telah mendepani pelbagai cabaran, kecaman dan fitnah, malah beberapa perdana menteri sentiasa merampas pentadbiran negeri.

“Setiap kali pilihan raya, selepas pilihan raya kita akan diserang. Bermacam-macam mereka keluarkan dakwaan, fitnah namun tidak berjaya.

“Sekarang kita buktikan dan laksanakan. Seranglah macam mana pun tapi pencapaian kita tak boleh dinafikan. Selangor masih mencatat pelaburan tertinggi,” katanya lagi.


Pengarang :