AGENDANASIONAL

Anwar ajak umat Islam lawan kebejatan, tolak perkauman

SHAH ALAM, 20 OGOS: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam untuk terus melawan kebejatan serta menolak budaya perkauman sempena sambutan Maal Hijrah, kali ini.

Menurut Presiden KEADILAN tindakan itu selari dengan makna hijrah yang tidak hanya bermaksud bergerak dari satu negara ke satu negara, sebaliknya ia bermakna umat Islam harus berani berubah dan menjunjung reformasi.

“Dunia hari ini menyaksikan ramai umat Islam berhijrah, ada juga yang terpaksa berhijrah bagi mengelak tempias perang atau gejala penindasan. Ia bukanlah jalan yang hina kerana agama Islam adalah agama yang menganjurkan hijrah dan perubahan.

“Justeru marilah kita membulatkan tekad di era baru ini dengan semangat dan kejituan baharu yakni untuk terus melawan kebejatan, menolak perkauman dan angkat sebuah sistem yang berpaksikan ‘al-adli wal ihsan’,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mengulas lanjut mengenai sambutan Maal Hijrah, Anwar berkata peristiwa hijrah membawa makna baharu pada perjuangan junjungan besar Nabi Muhammad SAW setelah dikhianati dan diancam di tanah airnya sendiri iaitu Kota Mekah.

“Baginda Rasulullah dan pengikutnya diberi layanan buruk tatkala menerima Islam dan menolak pegangan yang bobrok dan menindas.

“Dari sisi lain, ia juga bermakna pengorbanan maha besar tatkala Nabi Muhammad SAW dan para pengikutnya terpaksa meninggalkan keluarga, perniagaan yang telah terbina dan tempat tinggal demi membina dan mencipta cita baru di Kota Madinah,” katanya.


Pengarang :