Datuk Seri Anwar Ibrahim berbahas pada sidang Dewan Rakyat yang berlangsung mulai 13 Julai hingga 27 Ogos 2020. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Anwar: Kerajaan lemah, turuti gaya BN abai demokrasi

SHAH ALAM, 28 OGOS: Sidang Dewan Rakyat yang melabuhkan tirai semalam menyaksikan kelemahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tiada keabsahan serta gagal menterjemah tatakelola beretika.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan yang meraih majoriti sangat tipis itu tidak layak mentadbir, apatah lagi ketika negara memerlukan kepimpinan jitu.

“Tindakan legislatif pertama kerajaan PN saat pandemik Covid-19 di Parlimen adalah menukar Speaker Dewan Rakyat, yang tidak pernah berlaku dalam mana-mana sejarah dunia.

“Apa yang mengekori sejurus itu adalah corak dan gaya pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang mempunyai ciri-ciri tatanan tidak cukup sifat dan roh demokrasi,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Bagaimanapun, Anwar kagum dengan gabungan pembangkang yang menyanjung demokrasi, mempertahankan mandat rakyat dan menyiapkan semak imbang mantap dengan mempersoal setiap tindakan PN.

Menyentuh kelulusan rang undang-undang (RUU), presiden Parti Keadilan Rakyat itu berkata ia pernah dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini, namun dipinda pentadbiran PN.

Beliau berkata cadangan ditolak termasuk pelantikan ketua pembangkang ke dalam Majlis Keselamatan Negara bagi mengelak salah guna kuasa.

“Kerajaan PN menarik balik RUU Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis 2019 untuk mengukuh pengawasan ke atas pasukan polis dan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2019 yang mengehad kuasa dan penggal kedudukan Perdana Menteri bagi mengelak salah guna kuasa.

“Sikap ini seolah-olah mengembalikan amalan bobrok BN yang ditolak rakyat pada pilihan raya umum lalu,” kata Anwar lagi.

Antara RUU dibentang dan dilulus pada sesi kali ini ialah:

1. RUU Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Covid-19 2020
2. RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020
3. RUU Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020


Pengarang :