AGENDANASIONAL

Anwar: Siasat, dedah bilion saham, tanah Bumiputera hilang

SHAH ALAM, 5 OGOS: Kerajaan Persekutuan didesak untuk siasat dan mendedahkan berbilion saham dan tanah Bumiputera hilang akibat ketirisan dan bocor kepada individu tertentu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan juga perlu menjelaskan berkenaan penerima saham Bumiputera selain diperuntukkan untuk badan Bumiputera serta kedudukan terkini tanah rizab Melayu dijual dan tidak diganti.

Beliau juga mendesak supaya kajian segera dijalankan ekoran masih ada Bumiputera menderita meskipun peruntukan ekonomi dan pendidikan kepada kumpulan berkenaan amat besar.

“Kajian bebas dan inklusif perlu dilakukan sejajar pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang dikatakan mahu membantu golongan benar-benar layak dan terpinggir.

“Kerajaan mesti segera mengkaji pendekatannya membantu Bumiputera dengan menghapuskan dasar yang hanya memperkaya gerombolan elit dan petinggi politik,” kata ketua pembangkang dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata beliau kesal apabila keistimewaan yang kononnya mahu meningkatkan kesejahteraan ekonomi Bumiputera diperalat dengan memperkayakan golongan elit.

Katanya, ia lebih parah apabila jurang pendapatan antara kaya dan miskin semakin melebar.

“Kerajaan harus menumpukan perhatian merancakkan lapangan utama ekonomi dan memberikan dokongan secukupnya kepada perusahaan kecil dan sederhana.

“Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) mesti dikendalikan tokoh profesional berkelayakan dengan kepakaran dalam perniagaan sementara kedudukan pengurusan kanan tidak boleh ditentukan berdasarkan kecenderungan politik tetapi mesti atas asas merit jelas dan pencapaian masing-masing,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohd mengumumkan pembentangan RMK-12 ditangguhkan ke awal tahun hadapan atas faktor perubahan ekonomi susulan Covid-19 dan perubahan Kerajaan Persekutuan.

Pada sidang parlimen itu, Anwar berkata alasan yang diberikan Kerajaan Perikatan Nasional terlalu remeh.


Pengarang :