Menggunkakan aplikasi Moovit penumpang dapat menyemak lokasi semasa sebenar bagi laluan bas di Lembah Klang termasuk bas perantara Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Go KL dan beberapa laluan perkhidmatan bas Smart Selangor terpilih. Foto: Facebook RapidKL
AGENDANASIONAL

Aplikasi Moovit bantu penumpang Rapid Bus rancang perjalanan

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), pengendali operasi perkhidmatan bas Rapid KL, Go KL dan SMART Selangor, hari ini mengumumkan ketersediaan maklumat sebenar lokasi bas menerusi aplikasi Moovit.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Muhammad Yazurin Sallij berkata dengan aplikasi itu, penumpang dapat menyemak lokasi semasa sebenar bagi laluan bas di Lembah Klang termasuk bas perantara Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Go KL dan beberapa laluan perkhidmatan bas Smart Selangor terpilih.

“Selain itu, ia menyajikan pilihan perjalanan lain seperti kombinasi perkhidmatan bas dan rel, memberikan maklumat hentian bas dan jangkaan masa perjalanan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dengan adanya kemudahan maklumat perjalanan ini melalui aplikasi telefon pintar, penumpang juga boleh menanti bas mereka sambil bersantai atau melakukan aktiviti lain sementara menunggu ketibaan bas.

“Kerjasama dengan Moovit merupakan sebahagian inisiatif Rapid Bus untuk menjalinkan kolaborasi bersama pembangun aplikasi pihak ketiga yang terpilih. Kemudahan itu akan memanfaatkan ribuan pengguna perkhidmatan bas awam di Lembah Klang,” katanya.

Muhammad Yazurin berkata sebelum ini, pihaknya telah melancarkan perkongsian data masa nyata atau ‘real-time’ bersama Google Maps pada 18 Jun lepas.

“Kedua-dua inisiatif ini menandakan satu titik baharu dalam perkongsian data kedudukan bas secara real-time bagi kemudahan para pelanggan kami.

“Inisiatif-Inisiatif kolaboratif ini adalah pelopor kepada inisiatif perkongsian data terbuka yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut merancang meluaskan rangkuman data lokasi kepada perkhidmatan bas perantara MRT, Rapid Penang di Pulau Pinang dan Rapid Kuantan di Pahang pada masa hadapan.

Pengguna perkhidmatan bas Rapid KL boleh memuat turun aplikasi Moovit daripada Google Play atau Apple App Store.

-BERNAMA


Pengarang :