Ketua Jurulatih Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan, Arul Selvaraj pada sidang media di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 26 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Arul terap sains sukan untuk skuad hoki kebangsaan

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan A Arul Selvaraj akan meningkatkan penggunaan sains sukan bagi memberikan nafas baru kepada gaya permainan skuad Harimau Malaysia.

Arul yang baru melengkapkan kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari Dublin, Ireland minggu lepas menjelaskan, barisan kejurulatihan kebangsaan akan bekerjasama rapat dengan Institut Sukan Negara untuk memaksimumkan penerapan sains sukan kepada pasukan kebangsaan.

“Bila kita bandingkan pasukan kita dengan pasukan Eropah, kita ketinggalan, tetapi saya akan cuba untuk mengimbangkannya dengan menggunakan kelebihan yang ada dan memperbaiki kelemahan mereka.

“Berdasarkan kepada pengalaman saya, pemain kita mempunyai ketangkasan dan pergerakan antara yang terbaik di dunia, tetapi kita ketinggalan dari segi kecergasan (dengan pasukan terkuat),” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) di sini.

“Saya akan lihat berdasarkan kepada data yang kita ada dan kekuatan kita ialah kelajuan, jadi kita akan rancang kesemuanya untuk disesuaikan mengikut pemain, bagi memastikan mereka boleh bermain pada level optimum,” katanya.

Arul yang akan mengadakan sesi latihan pertamanya, menjelaskan yang pemain veteran akan diberikan kuasa lebih untuk membuat keputusan bijak, di samping berkongsi idea bersama barisan kejurulatihan, tetapi keputusan akhir masih akan beliau putuskan.

Bekas pemain antarabangsa itu juga menjelaskan yang beliau akan merombak pasukan kebangsaan selepas Kejohanan Piala Razak, yang dijadualkan diadakan di Stadium Hoki Nasional di Bukit Jalil dari 18-26 September.

Pada masa ini skuad kebangsaan terdiri daripada 32 pemain, dengan empat daripadanya penjaga gol, selain tujuh pemain muda.

Arul akan mempunyai masa yang lebih dengan anak buahnya, kerana pasukan kebangsaan tidak akan mempunyai perlawanan antarabangsa lain tahun ini, selepas Persekutuan Hoki Asia (AHF) baru-baru ini, menangguhkan Piala Juara-Juara Asia (ACT) dari 17-27 November ke 11-19 Mac 2021 akibat pandemik Covid-19 dan sekatan perjalanan.

KHM melantik Arul sebagai ketua jurulatih dengan kontrak dua tahun, selepas Roelant Oltmans meletakkan jawatannya hujung bulan lepas.

– BERNAMA


Pengarang :