Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) meninjau bangunan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Kuala Langat yang musnah dalam kebakaran pada 4 Ogos 2020. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Asrama tahfiz terbakar di Banting terima bantuan RM300,000

SHAH ALAM, 4 OGOS: Sejumlah RM300,000 disumbang kepada Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Kuala Langat di Banting bagi membaiki struktur bangunan yang musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana itu juga boleh digunakan untuk menambah baik aspek keselamatan bagi mengelak insiden sama berulang.

“Ketika ini Kerajaan Negeri sedang menguruskan penempatan sementara pelajar yang terjejas. Kita juga menunggu laporan penuh daripada bomba. Keselamatan pelajar yang sedang menuntut ilmu keutamaan semua pihak,” tulisnya di Facebook hari ini.

Beliau berkata pendawaian elektrik disyaki punca kebakaran pada jam 5.45 pagi tadi dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) diarah meneliti kos baik pulih bangunan.

Pagi tadi, Amirudin bersama wakil rakyat Banting Lau Weng San dan Morib Hasnul Baharuddin melawat lokasi yang menempatkan 131 pelajar perempuan.

Hasnul turut memberi bantuan awal RM2,000 bagi membantu pusat tahfiz mengendali kebajikan pelajar.

Ketika ini, pelajar tingkatan empat dan lima ditempatkan di kuarters guru manakala pelajar lain direhatkan sementara.


Pengarang :