Petugas kesihatan berehat seketika selepas mengambil sampel bagi saringan Covid-19 di Gombak pada 22 April 2020. Foto AFP
AGENDANASIONAL

ATM sahkan tiga kes Covid-19 di Hospital Kem Terendak

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini mengesahkan tiga kes positif Covid-19 dikesan di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Kem Terendak, Melaka semalam.

Dalam kenyataanya, ATM berkata kes melibatkan dua orang awam dan seorang anggota tentera yang menerima rawatan di hospital itu pada 24 Ogos lepas.

“Dua pesakit awam berkenaan dikesan sewaktu saringan prapembedahan dan anggota tentera itu dikesan setelah mendapatkan rawatan kerana bergejala. Kesemua mereka telah dihantar ke Hospital Melaka bagi tujuan isolasi dan siasatan lanjut.

“HAT dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Melaka bertindak melaksanakan kawalan pantas melalui pelaksanaan tatacara operasi piawai Kawalan Jangkitan Peringkat Hospital bagi siasatan dan pengesanan kontak rapat,” demikian menurut kenyataan itu.

ATM berkata hospital berkenaan turut menjalankan kerja dekontaminasi di kawasan disyaki tercemar, ujian swab serta isolasi.

Menurut kenyataan itu, hingga kini ujian swab dijalankan ke atas 138 orang disyaki kontak rapat dan sedang menunggu keputusan.

Pemantauan rapi dan penilaian berterusan turut dilaksanakan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM dan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.

ATM turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mewujudkan kebimbangan kepada masyarakat setempat.

-BERNAMA


Pengarang :