Bangunan Bank Negara Malaysia – Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bank miliki penampan mencukupi laksana lanjutan moratorium

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Bank-bank di Malaysia mampu melaksanakan langkah lanjutan moratorium bermula Oktober hingga Disember 2020 kerana mempunyai penampan yang mencukupi.

Malah, Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Abdul Rahim Bakri menegaskan, setiap keputusan lanjutan moratorium yang diumumkan kerajaan adalah dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) serta menerusi penglibatan Persatuan Bank-Bank Malaysia.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) di Dewan Rakyat hari ini yang bertanyakan mengenai keupayaan bank-bank terbabit untuk menanggung tempoh lanjutan moratorium sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

“Setakat ini, sebanyak RM66 bilion telah digunakan oleh bank-bank di bawah pakej moratorium daripada sejumlah RM100 bilion yang diperuntukkan melalui pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan kerajaan,” katanya.

Selain itu, ketika menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) sama ada peminjam-peminjam yang gagal melunaskan bayaran selepas tempoh moratorium akan dikenakan tindakan undang-undang, Abdul Rahim berkata perkara sedemikian dapat dielakkan susulan pelaksanaan langkah-langkah berkaitan.

“Proses yang sedang kita lakukan sekarang adalah untuk melaksanakan moratorium bersasar. Ramai yang akan menerima faedah ini dan prosiding undang-undang terhadap peminjam ini akan dapat dielakkan,” katanya.

Menurutnya, peminjam-peminjam yang mempunyai masalah (berkaitan pinjaman) dinasihatkan mengunjungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mendapatkan khidmat nasihat manakala perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh menghubungi Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SDRS).

“Oleh yang demikian, saya berpendapat bahawa kemungkinan bagi peminjam-peminjam peribadi atau PKS untuk dikenakan tindakan undang-undang adalah kecil susulan pelaksanaan langkah-langkah itu,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :