Sebahagian rakyat Malaysia mula tiba di pintu masuk darat Singapura pada hari pertama pelaksanaan rentas sempadan Malaysia dan Singapura di bawah skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) pada 17 Ogos 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bas percuma dibenar bawa pejalan kaki dari Tambak Johor ke Woodlands

JOHOR BAHRU, 20 OGOS: Perkhidmatan bas percuma yang disediakan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) bagi membawa pejalan kaki rentas sempadan di bawah skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA), di Tambak Johor dibenarkan mengambil dan menurunkan penumpang di Pusat Pemeriksaan Woodlands, Singapura, berkuat kuasa hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Mohd Solihan Badri berkata penambahbaikan itu hasil persetujuan pihak Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar dengan Pihak Berkuasa Imigesen dan Pemeriksaan Singapura (ICA) Woodlands, hari ini.

“Sejak tiga hari sempadan dibuka (mulai 17 Ogos), PAJ menyediakan bas percuma ini, namun, perlu membuat pusingan U di tengah sempadan antara kedua-dua negara.

“Kini, bas tidak perlu membuat pusingan U di tengah sempadan dan dibenarkan membuat pusingan U di ICA Woodlands,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, PAJ menerusi kenyataan memaklumkan operasi bas percuma itu akan melibatkan 11 perjalanan bermula 7.30 pagi hingga 6.30 petang setiap hari dengan kekerapan setiap sejam.

PAJ menasihati pengguna agar mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia semasa menggunakan perkhidmatan bas berkenaan.

Pengguna juga tidak dibenarkan menahan bas di pertengahan jalan dan disarankan supaya turun atau menaiki bas di tempat yang ditetapkan, menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, pejalan kaki yang merentas sempadan perlu menaiki bas yang disediakan di tengah garisan sempadan Tambak Johor.

-BERNAMA


Pengarang :