Penolong Pengarah Audit Jabatan Audit Negara Noor Fatihah Wan Hassan menunjukkan buku Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri Satu di Jabatan Audit Negara pada 24 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Berjuta ringgit dibayar untuk penyelenggaraan helikopter polis tidak aktif

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Polis membuat bayaran berjuta ringgit bagi penyenggaraan helikopter yang tidak aktif, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 yang dikeluarkan hari ini.

Laporan itu menyebut, bahawa Klausa 15.2 di dalam kontrak perkhidmatan penyenggaraan menyatakan, yang selepas enam bulan helikopter tidak aktif, bayaran tetap bulanan penyenggaraan helikopter yang dikenakan untuk satu helikopter, akan dikurangkan sebanyak 25 peratus.

“Bayaran tetap bulanan penyenggaraan helikopter adalah sejumlah RM38,500 dan selepas pengurangan adalah sejumlah RM28,875.

“Ia mengulas bahawa lawatan Audit yang dijalankan pada bulan September 2019 di Pusat Gerakan Udara (PGU) Subang mendapati, sebuah daripada empat buah helikopter yang tidak aktif melebihi enam bulan, tidak dikurangkan bayaran tetap bulanan sebanyak 25 peratus,” kata laporan itu.

Menurut laporan itu, helikopter berpendaftaran 9M-PHJ tidak aktif sejak kemalangan semasa pendaratan pada 13 Mac 2018, dan tempoh masa tidak aktif bagi helikopter berkenaan sehingga bulan Ogos 2019 adalah selama 17 bulan.

“Bagaimanapun, bayaran tetap bulanan helikopter masih dikenakan pada kadar RM38,500 sebulan, selepas tempoh enam bulan dari tarikh helikopter berkenaan tidak aktif,” menurut laporan itu.

“Mengikut pengiraan Audit, sejumlah RM105,875 telah terlebih bayar bagi bayaran tetap bulanan helikopter berkenaan bagi tempoh 11 bulan iaitu dari Oktober 2018 hingga September 2019 (setelah ditolak tempoh enam bulan sebelum pengurangan 25 peratus bayaran tetap bulanan helikopter),” katanya.

Menurut laporan itu juga, siasatan lanjut mendapati bayaran berjumlah RM3.47 juta telah dibuat bagi penyenggaraan dua buah helikopter, yang tidak aktif melebihi tiga tahun daripada tahun 2017 hingga 2019.

“Pihak Audit mendapati perkara ini berlaku kerana syarat kontrak hanya membenarkan potongan harga diberikan maksimum terhadap tiga buah helikopter pada satu masa. Ini menyebabkan pembaziran sejumlah RM3.47 juta,” kata LKAN.

Dalam pernyataan audit segmen maklumbalas polis 17 Jun lepas, ia memaklumkan bahawa kontrak perkhidmatan penyenggaraan sepatutnya tidak mengehadkan bilangan maksimum helikopter yang boleh diberi pengurangan bayaran penyenggaraaan pada satu masa kerana kerosakan berlaku di luar jangkaan.

Oleh itu, Audit mengesyorkan pihak polis memastikan pegawai penyedia, penyemak dan pengesah membuat semakan dengan teliti mengikut syarat kontrak sebelum bayaran dibuat bagi mengelakkan pembayaran tidak wajar.

– BERNAMA


Pengarang :