Jurulatih dan Ketua pasukan Dodgeball Malaysia Muhamad Heidy Mohd Yusoff (kanan) bersama Jurulatih pasukan Dodgeball Malaysia Lee Chee Cai (kiri) bergambar berlatarbelakangkan Tugu Negara sambil mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 ketika tinjauan pada 28 Ogos 2020. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Bersatu dalam semangat perpaduan

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Menjelang sambutan Hari Kemerdekaan pada Isnin, pelbagai pihak tampil menggesa rakyat Malaysia agar tetap meraikan sambutan itu dengan semangat patriotik sekalipun dalam kekangan norma baharu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan bagi mengawal penularan Covid-19.

Antara pihak berkenaan ialah Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) yang dalam mesejnya menggesa rakyat memupuk persefahaman yang lebih mendalam bagi membina rasa hormat dan percaya dalam kalangan pelbagai kaum.

“Aspek kehebatan Malaysia inilah yang harus kita hargai agar perpaduan masyarakat dan patriotisme dapat dipertingkat, sekali gus mengelak aspek ini dirampas oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mahu menggugat keharmonian negara.

“Kita perlu meningkatkan lagi aspek tolak ansur dan kesederhanaan bagi menenggelamkan ‘suara-suara sumbang’ ini yang memupuk sikap ekstremis dan fanatik,” demikian menurut MCCBCHST dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya pertumbuhan dan kemajuan negara boleh dilaksanakan melalui perpaduan berserta semangat cintakan negara dan patriotisme.

MCCBCHST berkata ia akan terus berusaha ke arah merapatkan masyarakat menerusi perpaduan antara kaum dan saling menerima serta menghormati agama lain agar rakyat keseluruhannya dapat berdiri bersama menghadapi pelbagai cabaran.

“Slogan sambutan Merdeka tahun ini iaitu ‘Malaysia Prihatin’ adalah tepat dalam menyatakan yang kita perlu saling mengambil tahu antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama bagi mengekalkan sebuah masyarakat yang prihatin. Inilah yang diharapkan dan didoakan oleh MCCBCHST.

“Kita harus terjemahkan makna slogan itu, kalau tidak slogan hanya sekadar slogan,” demikian menurut kenyataan itu.

-BERNAMA


Pengarang :