AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini, menjejaki prestasi semalaman Wall Street yang susut di saat-saat akhir dagangan susulan penjualan ketara membabitkan saham-saham teknologi.

Para pelabur juga dalam proses meneliti unjuran ekonomi di tengah-tengah penularan kes jangkitan baharu Covid-19 yang lebih perlahan serta ketiadaan perkembangan membabitkan bantuan tambahan baharu Washington bagi menangani pandemik itu.

Pada 9.06 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.00 mata kepada 1,557.74 daripada 1,564.74 sewaktu dagangan ditutup pada Selasa.

Sewaktu dibuka, indeks penanda aras itu berkurangan 5.92 mata kepada 1,558.82.

Sentimen pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 385 berbanding 157 manakala 264 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,180 lain tidak didagangkan dan 22 digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.39 bilion saham bernilai RM383.05 juta.

Sementara itu Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya berkata tempias kelemahan di Wall Street berkemungkinan besar akan turut menular ke Bursa Malaysia.

“Berikutan kekurangan pemangkin baharu, kami berpendapat ini akan disusuli fasa konsolidasi manakala laporan pendapatan korporat seterusnya akan menyaksikan kenaikan yang sebaliknya dijejaskan oleh aktiviti pengambilan untung.

“Pada masa sama, kami turut berpendapat berpendapat aktiviti pembelian secara bergilir-gilir membabitkan saham-saham berharga rendah akan meningkatkan dagangan,” katanya.

Mengulas sektor yang menjadi tumpuan, firma pembrokeran itu berkata ini akan membabitkan sektor tenaga susulan kenaikan harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global untuk menembusi tahap AS$45 setong.

Selain itu, penyusutan saham-saham kesihatan dilihat sebagai kesan pelabur meraih pulangan masing-masing sebelum kembali melabur di masa depan, katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank untung tiga sen kepada RM7.52, Public Bank naik dua sen kepada RM16.94, Top Glove turun RM1.00 kepada RM26.30, Hartalega susut 66 sen kepada RM17.64 manakala Tenaga tidak berubah pada RM11.00 .

Bagi saham aktif, Sapura Energy dan Borneo Oil masing-masing susut setengah sen kepada 14 sen dan tujuh sen, AT Systematization rendah 1.5 sen kepada 11.5 sen, Kanger International naik satu sen kepada 30 sen manakala Eduspec tidak berubah pada dua sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas turun 62.40 mata kepada 11,204.16, Indeks FBM Emas Syariah merosot 117.13 mata kepada 13,197.32 dan Indeks FBMT 100 susut 60.30 mata kepada 11,017.04.

FBM 70 pula rendah 121.54 mata kepada 14,528.66 dan FBM ACE turun 311.17 mata kepada 10,329.01.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 6.12 mata kepada 6,973.42, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.82 mata kepada 138.49 namun Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 14.02 mata kepada 12,956.53.

– BERNAMA


Pengarang :