AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi ikuti sentimen positif pasaran

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini, meneruskan momentum meningkat semalam berikutan sentimen pasaran yang positif dan peningkatan semalaman di Wall Street, kata peniaga.

Walaupun dibuka rendah 1.47 mata kepada 1,576.38, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.57 mata kepada 1,580.42 sehingga 9.15 pagi, berbanding 1,577.85 semasa ditutup pada Selasa.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi, manakala 296 kaunter tidak berubah, 1,145 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.12 bilion saham bernilai RM827.81 juta.

Dalam nota, Malacca Securities Sdn Bhd berkata dengan FBM KLCI cuba mencari kestabilan, sentimen akan banyak ditentukan oleh pergerakan saham wajaran tinggi sarung tangan.

“Bagaimanapun, kami berpendapat kenaikan akan menjadi tidak menentu berikutan aktiviti pengambilan untung apabila pelabur kini berhati-hati susulan turun naik baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, sentimen dagangan yang lebih baik selain aktiviti dagangan akan terus memastikan mudah tunai dan mengekalkan kadar peserta runcit yang lebih tinggi daripada purata.

Daripada saham wajaran tinggi, Maybank menambah satu sen kepada RM7.64, Top Glove naik 22 sen kepada RM26.30, dan Hartalega menambah 64 sen kepada RM18.20.

Public Bank susut 12 sen kepada RM17.54, Tenaga merosot enam sen kepada RM11.10, dan Petronas Chemicals berkurangan sembilan sen kepada RM6.06.

Dalam kalangan saham cergas, EA Holdings dan Sapura Energy, masing-masing naik setengah sen kepada empat sen dan 13 sen, Notion menambah tujuh sen kepada RM1.60, manakala Lambo, XOX dan Borneo Oil, masing-masing tidak berubah pada lima sen, 19 sen dan 6.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 37.86 mata kepada 11,333.71, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 78.9 mata kepada 13,313.98 dan Indeks FBMT 100 menambah 35.41 mata kepada 11,153.43.

FBM 70 naik 114.22 mata kepada 14,614.66 dan FBM ACE melonjak 171.43 mata kepada 10,609.67.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 24.66 mata kepada 13,152.46, Indeks Perladangan naik 27.64 mata kepada 7,034.4 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.13 mata kepada 140.88.

-BERNAMA


Pengarang :