AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia diniaga bercampur-campur, Top Glove paling untung

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Bursa Malaysia bercampur-campur pada tengah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung dalam kebanyakan saham wajaran tinggi dengan aktiviti belian dalam saham permodalan kecil dan saham berharga rendah, dalam dagangan yang turun naik, kata peniaga.

Pada 12.30 tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.45 peratus atau 6.98 mata kepada 1,547.98 daripada 1,554.96 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks barometer dibuka rendah 0.21 mata kepada 1,554.75 dan bergerak antara 1,538.26 dan 1,558.95 sepanjang sesi pagi.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 566 berbanding 444, manakala 388 kaunter tidak berubah, 636 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 5.82 bilion saham bernilai RM3.39 bilion.

Seorang penganalisis berkata pasaran ekuiti tempatan yang turun naik turut menjejaki bursa serantau, yang berada pada aliran penurunan, walaupun prestasi bercampur-campur di Wall Street.

Dow Jones Industrial Average semalaman susut 0.21 peratus manakala S&P 500 meningkat 0.36 peratus.

Nikkei 225 susut 0.14 peratus, Indeks Hang Seng jatuh 0.21, Indeks Harga Saham Komposit Korea (KOSPI) merosot 0.21 peratus dan Indeks Straits Times berkurangan 0.94 peratus.

Rakuten Trade Sdn Bhd berkata FBM KLCI dijangka terus turun naik dengan kecenderungan penurunan dengan paras sokongan segera dilihat pada 1,550 manakala paras halangan pada 1,570.

Daripada saham wajaran tinggi, Maybank merosot dua sen kepada RM7.47, Top Glove naik 62 sen kepada RM26.02, Public Bank susut 30 sen kepada RM16.66, Tenaga berkurangan dua sen kepada RM11.00, dan Hartalega susut enam sen kepada RM16.44.

Dalam kalangan saham cergas, CME dan XOC, masing-masing menambah 2.5 sen kepada 12 sen dan 27.5 sen, dan Konsortium Transnasional meningkat 12 sen kepada 17 sen.

Kaunter paling rugi — Nestle merosot RM1.70 kepada RM139.00, Petronas Dagangan susut 52 sen kepada RM20.70 dan Carlsberg jatuh 40 sen kepada RM22.48.

Sementara itu, Top Glove merupakan kaunter paling untung, diikuti Dutch Lady yang naik 58 sen kepada RM40.28 dan Supermax meningkat 42 sen kepada RM20.22.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 16.52 mata kepada 11,157.48, Indeks FBMT 100 merosot 20.98 mata kepada 10,960.17, bagaimanapun FBM 70 naik 83.45 mata kepada 14,501.30.

Indeks FBM Emas Shariah menokok 13.10 mata kepada 13,200.19 dan FBM ACE naik 147.18 mata kepada 10,036.35.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 74.85 mata kepada 12,839.02, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.42 mata kepada 140.16, dan Indeks Perladangan turun 37.05 mata kepada 7,039.29.

-BERNAMA


Pengarang :