Operasi bersepadu beberapa agensi kerajaan terhadap pencerobohan Hutan Simpan Bukit Cherakah pada 12 Ogos 2020. Foto: Pejabat EXCO Alam Sekitar
EXCOSELANGOR

Ceroboh Hutan Simpan Bukit Cerakah: Ternakan disita, tiga lelaki ditahan

SHAH ALAM, 13 OGOS: Sebanyak 27 lembu dan 59 kambing yang diternak secara haram di Hutan Simpan Bukit Cherakah disita semalam.

EXCO Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata dalam operasi bersepadu beberapa agensi kerajaan itu tiga individu dipercayai penceroboh kawasan larangan berkenaan turut ditahan.

“Penceroboh mendirikan dua kandang serta sebuah pondok dan menjalankan aktiviti menternak lembu, kambing, itik, angsa dan ayam.

Sebanyak 27 lembu dan 59 kambing yang diternak secara haram di Hutan Simpan Bukit Cherakah disita pada 12 Ogos 2020. Foto: Pejabat EXCO Alam Sekitar

“Akibat kegagalan mereka mematuhi notis dikeluarkan Februari lalu, kandang dan pondok dirobohkan. Ini menunjukkan Kerajaan Selangor serius menangani isu penerokaan hutan simpan tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Loy Sian berkata lima motosikal, sebiji lori dan dua unit pam air yang ada di lokasi turut disita.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 32 (1) Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985. Sabit kesalahan individu berkenaan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.


Pengarang :