Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan penularan wabak Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 16 Julai 2020. Foto: BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: 12 daripada 16 kes penularan tempatan babit kluster PUI Sivagangga

SHAH ALAM, 7 OGOS: Sebanyak 25 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan 16 merupakan penularan tempatan, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata 12 kes jangkitan dalam negara berkait kluster PUI Sivagangga dengan 10 kes direkodkan di Perlis manakala dua lagi masing-masing di Pulau Pinang dan Kedah.

“Empat lagi kes tempatan turut dicatatkan dengan dua kes di Perak membabitkan Penyakit Seperti Influenza (ILI), satu kes bergejala di Kuala Lumpur dan satu lagi melibatkan pendatang tanpa izin di Johor.

“Sembilan kes import pula dengan empat kes jangkitan Filipina manakala satu kes masing-masing dari Emiriah Arab Bersatu, Turki, Afrika Timur, Australia dan Yaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata pertambahan itu menjadikan keseluruhan sebanyak 9,063 kes dan 210 merupakan kes aktif.

“Setakat jam 12 tengah hari tadi, 15 kes dibenarkan keluar hospital dan disahkan pulih menjadikan jumlah sembuh sebanyak 8,728 kes iaitu 96.3 peratus dari keseluruhan.

“Dua pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan seorang memerlukan bantuan pernafasan. Tiada kematian baharu dilaporkan dan jumlah kumulatif kekal 125 kes,” katanya.


Pengarang :