AGENDAGLOBAL

Covid-19: 31 kes baharu di Singapura, tiada kes dalam komuniti

SINGAPURA, 25 OGOS: Singapura merekodkan tambahan 31 kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas.

“Berdasarkan siasatan setakat ini, tiada kes dalam komuniti,” menurut data ringkas yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura di sini hari ini.

Menurut kementerian itu terdapat satu kes import dan telah diserahkan Notis Duduk Di Rumah sebaik tiba di Singapura.

Perkembangan terkini itu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di republik itu mencecah 56,435.

Dalam data penuh yang dikeluarkan lewat semalam, republik itu mengklasifikasikan 860 kes sebagai import, kes komuniti sebanyak 2,219 dan 53,325 kes penghuni asrama.

Sebanyak 54,587 pesakit telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan telah didiscaj dari hospital atau kemudahan penjagaan komuniti.

Sementara itu, 84 kes yang disahkan masih lagi dirawat di hospital namun tiada yang dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Sejumlah 1,706 pesakit yang bergejala ringan atau secara klinikal didapati sihat tetapi masih diuji positif Covid-19, telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Sehingga kini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 di republik itu.

Kluster baharu dikenal pasti semalam di Tuas View Dormitory, 70, Tuas South Avenue 1.

– BERNAMA


Pengarang :